Friday, April 17, 2020

Hey! Mecha-Desginer : Episod 2


Malaysia, November 2015.

“Dalila, lukisan teknikal untuk EC394 Kak Liza letak atas meja ye! Dah siap semak nanti, tandatangan di bahagian jurutera”, pesan Kak Liza.
“Memang semua info ni kena masukkan dalam lukisan kah?” tanya aku kepada Aqilah.
“Tak lah. Tak perlu pun. Tapi baguslah kalau dimasukkan” jawab Aqilah selamba.
“Aku perasan juga, Saito punya lukisan mesti masukkan semua maklumat. Lengkap” sambil mata masih menyemak lukisan yang bertimbun di atas meja.

Saito-san.
Dia sangat dedikasi dengan kerjanya. 2 tahun sebelum ini, aku hanya melihat dia berseorangan semasa design elavuation K302. Sekarang, untuk EC394, kumpulan pereka ada 3 orang. Sebagai ketua kumpulan, dia memang tegas dengan setiap keputusan yang dibuat.

Design Evaluation 2 berkunjung tiba.

Pagi ini, aku diberitahu masih ada lagi plate shutter yang retak selepas diskru. Sedikit sakit hati. Mana tidaknya, masalah yang sama berlaku lagi walaupun telah diketengahkan sebelum ini. Di pihak Jepun, katanya pembaikan telah pun dilakukan.
Berkajang data tiba dari Saito-san. Aku amati satu-persatu. Sebagai jurutera yang sebelum ini bertugas di bahagian technical support, aku memang mahir technical data berkaitan ukuran mekanikal. Langsung tak logik.

EK Tan, AGM bahagian kejuruteraan yang kebetulan melihat data itu tersenyum. “Dalila, you rasa betul ka data yang Saito-san bagi ini?”.

Aku senyum sambil geleng kepala. Dia juga begitu.

Aku pulang ke rumah sekitar jam 8 malam. Sementara dalam perjalanan pulang, aku taip mesej berbahasa Jepun untuk Arai-san melalui applikasi Line yang lebih kurang maksudnya,
“ Arai-san.
Saya mahu plate shutter itu ditukar rekaannya. Jangan cakap dengan saya tentang Crack Limit Acceptance. Baru-baru ini, keretakan yang sama terjadi di model K301. Untuk menguruskan masalah ini, kami perlu 5 orang jurutera di dalam production line. Itu belum kira retakan yang sudahnya terlepas dan menjadi produk. Tak boleh dijual.
Saya telah semak data daripada Saito-san juga. Data itu langsung tidak logik. Beritahu dia, saya adalah orang yang berkompiten dalam menentu ukur ukuran mekanikal.”

Menyakitkan hati apabila kita kena beritahu pahitnya ujian yang sedang ditempuhi. Arai-san memang mahu berada di sini, namun apakan daya kedatangannya ke Malaysia tidak mendapat persetujuan MD di Jepun.

Produk dengan keretakan sekitar 50% dihantar juga ke Jepun.

Biar. Biarkan mereka lihat sendiri retak yang mana mereka mahukan. Selama ini, jurutera dari Jepun akan turut sama berada di Malaysia ketika Design Evaluation. Tiada apa yang akan di tambah baik, kecuali menerima sahaja kecacatan pada produk selagi tidak mencacatkan fungsi utama.
Aku tidak mahu itu berlaku. “Buat betul-betul” peringatan oleh Maniwa-san itu aku hadam. Mungkin juga kali pertama jurutera dari Malaysia cerewet.

Laporan Design Evaluation 2 siap.

Bahagian keretakan plate shutter telah pun diisi dengan maklumat tambahan.
‘Penambahan ketebalan dinding pada lubang skru dan memendekkan kepanjangan skru’ menjadi jawapan.
“Saya harap Dalila-san berpuas hati dengan jawapan saya. Rekaan ini akan saya tukar untuk ujian di peringkat seterusnya”, begitu lebih kurang terjemahan tulisan Saito-san di dalam email ketika laporan itu dihantar.

Selepas membaca email ini, aku senyum gembira. Hampir semua orang tak percaya yang designer akan ubah rekaan seperti yang engineer minta. Bagai buku bertemu ruas. Sama-sama degil, tapi kali ini kita menang!

Malaysia, Ogos 2016.

Dalila-san. Please make list for item need to be improve and process difficulty. I will send it to Saito-san”, arah Maniwa-san kepada aku.
Aku hanya mengangguk tanda faham.
Saito-san want to start design another new model. He want to know Dalila-san opinion” sambung Maniwa-san, tersenyum menghampiri aku.
Good job na!!!”, menyambung puji bersama thumb up!

Jepun, November 2017.

Sejuk. Cukup untuk menggetarkan gigi dan menyakitkan sendi. Musim luruh menuju ke musim sejuk memang begitu di Chichibu. Suhu sekitar 3°C ke 5°C sudah terlalu biasa di sini.

“Dalila-san, here is prototype product for EC811” kata Arai-san.

Aku ambil dan terus membelek. “FPC condition – OK”, kata aku. Kumpulan pereka tergelak besar. Produk yang direka sebelum ini sangat menyusahkan kumpulan aku di Malaysia kerana FPC yang direka terdedah kepada kecacatan secara tidak sengaja.

Saito-san tidak berkomunikasi secara langsung dengan aku. Hanya bercakap dengan ahli kumpulan yang lain. Aku kebanyakannya bercakap dengan Maniwa-san dan Shimada-san. Kami bertiga adalah wakil kejuruteraan produk.

Kawakubo-san sahaja yang banyak memberi respon kepada aku. Walaupun sesekali berjumpa, kami sudah sekian lama bekerjasama. Banyak juga perkara yang perlu kepada penambahbaikan rekaan untuk kemudahan di masa hadapan. Kawakubo-san catatkan semuanya di dalam satu lampiran excel yang paparkan di skrin untuk pengetahuan bersama. Saito-san yang sedikit ke belakang, mencacat di dalam buku notanya.

Petang itu, ketika sedang menunggu yang lainnya tiba di meja mesyuarat, aku berdiri bertentangan, Arai-san yang berdiri di sebelahnya,

Saito-san, gomi da yo! [Saito-san, sampah tu!]” menegur Saito-san yang cuba untuk duduk di atas tong sampah.

Hai, gomi desu! [Ye, memang sampah pun]” jawab Saito-san selamba.

Aku tergelak tanpa berfikir. Begitu juga Arai-san.

Lawak juga rupanya Saito-san ni. Ingatkan tak reti melawak. Masa ini, baru aku faham, Saito-san ni sebenarnya loose juga. Tapi kena betul-betul kenallah.

No comments: